KUALA LUMPUR – Dua anak MV Rapallo di Terminal Jimah Energy Ventures (JEV), Port Dickson, Negeri Sembilan melecur akibat terkena minyak bahan api semasa menjalankan tugas-tugas di bilik enjin kapal.
Mangsa-mangsa yang cedera itu adalah warga Romania, kata Jabatan Laut Malaysia.
Namun siasatan awal punca kejadian masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Susulan insiden tersebut, dua orang mangsa yang melecur telah dibawa ke Hospital Port Dickson bagi tujuan rawatan lanjut dan telah dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kapal MV Rapallo ini masih berada di Terminal Jimah Energy Ventures (JEV), Port Dickson bagi tujuan pemunggahan kargo.
Kapal tersebut akan berlabuh sauh setelah selesai aktiviti pemunggahan yang dijangka selesai jam 10 pagi hari ini.
Satu pasukan penyiasat dari Jabatan Laut Wilayah Tengah (Port Dickson dan Pelabuhan Klang) telah ditubuhkan dibawah Seksyen 334(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan segala prosedur terkini bagi mengekang penularan Covid 19 seperti mana termaktub dalam MSN 15/2020 dan MSN 1/2021 tetap dipatuhi sepanjang proses siasatan. – MalaysiaGazette