Home Nasional 74% gangguan air di Kuala Lumpur pulih

74% gangguan air di Kuala Lumpur pulih

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 74 peratus di Wilayah Kuala Lumpur telah pulih daripada gangguan bekalan air berjadual.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 79 peratus bersamaan dengan 46 daripada 58 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ini telah mendapat bekalan air sepenuhnya.

Sebanyak 12 kawasan diĀ  Kuala Lumpur yang masih belum pulih adalah Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Bukit Bintang, Hampshire Park, Imbi, Kuala Lumpur City Centre 1, Kuala Lumpur City Centre 2, Pudu, Taman Bandaraya, Taman Bangsar, Taman Bangsar Baru dan Taman Lucky.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Air Selangor berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Gangguan bekalan air berjadual yang berlaku di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak adalah berikutan kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju pada 6 April lalu. -MalaysiaGazette