Home Ekonomi Ahli ekonomi optimis terhadap pertumbuhan IPP Malaysia

Ahli ekonomi optimis terhadap pertumbuhan IPP Malaysia

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini membuktikan bahawa persekitaran luaran jelas bersifat konstruktif terhadap ekonomi domestik, kata ahli ekonomi.

IPP yang merupakan petunjuk bulanan ekonomi bagi mengukur output sebenar pembuatan, perlombongan, elektrik dan gas, berkembang 1.5 peratus bagi tahun ke tahun pada Februari 2021, dipacu oleh peningkatan indeks pembuatan sebanyak 4.5 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jumlah eksport yang meningkat 17.6 peratus pada Februari, juga memaparkan pertumbuhan IPP secara berterusan.

“Setakat ini, sentimen pengeluar di peringkat global juga adalah positif,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Malah, kata beliau, indeks Institut Pengurusan Bekalan Amerika Syarikat bagi sektor pembuatan, melonjak kepada 64.7 mata pada Mac, sekali gus menunjukkan ekonomi terbesar dunia itu berada di landasan tepat bagi mencatat pemulihan kukuh dan seiring dengan sokongan dasar daripada aspek fiskal dan monetari.

“Perkembangan ini sudah pasti dapat menyokong permintaan luar Malaysia terutamanya dalam bidang berkaitan sektor produk elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.

Mohd Afzanizam juga menjangkakan sektor luaran akan memberi sokongan yang diperlukan oleh ekonomi Malaysia secara menyeluruh, didorong oleh Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia yang mengunjurkan bahawa jualan semikonduktor global berkembang sebanyak 10.9 peratus pada 2021 berbanding 6.8 peratus pada 2020.

Sehubungan itu, katanya, pertumbuhan IPP bagi 2021 sepatutnya mengunjurkan pertumbuhan lebih baik berbanding tahun lepas dan seiring dengan jangkaan pemulihan ekonomi global dan domestik.

Sementara itu, Prof Dr Yeah Kim Leng daripada Fakulti Perniagaan Sunway University turut berkongsi pandangan sama dan menjangkakan IPP berkemungkinan besar meningkat secara mendadak beberapa bulan akan datang — mencecah antara 4-5 peratus, dipacu pengukuhan permintaan luaran dan domestik.

“Pertumbuhan tersebut menggambarkan pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan biarpun kadar itu masih belum cukup kukuh untuk mengunjurkan pemulihan yang ketara,” katanya.

Namun, beliau berpendapat, aspek seperti program vaksinasi COVID-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan turut berperanan penting dari segi membantu usaha pemulihan dan membendung pandemik dengan lebih pantas.

Data Jabatan Perangkaan pada Jumaat menunjukkan industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 5.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 1.8 peratus pada Februari 2021.

Sementara itu, Moody’s Analytics mengunjurkan peningkatan pengeluaran perindustrian pada bulan-bulan akan datang susulan permintaan luaran yang kukuh selain impak asas lebih rendah dari tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan permintaan secara berterusan akan memacu prospek pengeluaran bagi industri berorientasikan perdagangan berikutan pemintaan kukuh bagi produk E&E serta getah selain unjuran positif membabitkan rakan dagangan seperti Amerika Syarikat dan China,” katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, RHB Research berkata perkembangan IPP banyak didorong oleh industri berorientasikan domestik yang dipacu oleh permintaan selain sokongan daripada sektor E&E. – MalaysiaGAzette