Home Seni Hidup Bapa restu pernikahan saya – Serina

Bapa restu pernikahan saya – Serina

Foto Instagram Serina.

KUALA LUMPUR – Pelakon Serina Redzuawan selamat mendirikan rumah tangga
dengan jejaka pilihan hatinya, beberapa hari menjelang Ramadan.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Serina bersyukur majlis yang diadakan secara tertutup itu berjalan lancar seperti yang direncanakan.

“Bismillahirahmanirahim, sempena hari Jumaat penuh keberkatan, dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT, saya nak umumkan saya dah selamat mendirikan masjid bersama suami dan majlis nikah kami secara tertutup sahaja.

“Alhamdulillah diselesaikan yang wajib dahulu, benar jodoh pertemuan, ajal maut itu rahsia Allah.

“Dialah yang terbaik yang Allah kirimkan buatku untuk menjadi imam serta khalifah dalam keluargaku,” tulisnya.

Serina turut meluahkan rasa syukur kerana perkahwinannya direstui individu paling penting dalam kehidupannya iaitu bapanya yang juga chef selebriti, Datuk Chef Wan.

Pelakon itu berkata majlis meraikan mereka akan diadakan di restoran bapanya yang terletak di ibu kota selepas sambutan Hari Raya Aidiltri nanti.

“Terima kasih papa merestui perkahwinan kami, insyaAllah lepas raya kita buat kenduri doa selamat dan makan di restoran papa ya,” katanya.

Serina, 38, sebelum ini pernah berkahwin Gavin Edward O’Luanaigh pada 1 Januari 2010 namun disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saya, 10 tahun. – MalaysiaGazette