Home Nasional MAQIS rampas 56 tan daging kerbau sejuk beku

MAQIS rampas 56 tan daging kerbau sejuk beku

Daging kerbau yang dirampas didapati dilabelkan dengan maklumat tidak tepat seperti dinyatakan pada sijil halal yang diisytiharkan.

SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas hampir 56 tan daging kerbau sejuk beku yang dibawa masuk secara tidak sah ke negara ini menerusi Terminal Kontena Utara Butterworth di sini baru-baru ini.

Rampasan daging bernilai RM603,932.76 itu dibuat selepas MAQIS Pulau Pinang memeriksa dua buah kontena yang dibawa dari India pada jam 5.30 petang Isnin dan 12.50 tengah hari pada Selasa lalu.

3,748 kotak berisi daging kerbau yang dianggarkan bernilai RM603,932.76 dirampas.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Noriah Dahlan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati keseluruhan daging tersebut dilabel menggunakan maklumat tidak tepat seperti dinyatakan pada Sijil Halal yang diisytihar.

“Susulan itu, daging kerbau sejuk beku seberat 55,994 kilogram di dalam 3,748 kotak yang dianggarkan bernilai RM603,932.76 itu di rampas bagi siasatan lanjut.

“Rampasan itu dibuat kerana mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan, keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

56 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas.

Tambah Noriah, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – MalaysiaGazette