Home Seni Hidup Neelofa mohon maaf

Neelofa mohon maaf

Ketua Pegawai Eksekutif dan Selebriti, Noor Neelofa selepas Majlis MOU antara Fipper dan The Noor di Marriot Hotel, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 5 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Selebriti, Neelofa tampil memohon maaf atas insiden perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis pernikahannya bulan lalu, selain kontroversi rentas negeri semasa kunjungannya ke Langkawi, baru-baru ini.

Melalui rakaman video berdurasi, pengacara dan usahawan kontroversi itu mengaku kurang menjaga sensitiviti semua pihak dan terlepas pandang dalam banyak perkara.

“Kalau kita tengok, ada banyak versi cerita di luar sana berkenaan kedua-dua isu ini.

“Saya seikhlas hati memohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan saya mahu pun di luar pengetahuan saya berkenaan kedua-dua isu ini,” katanya.

Neelofa, 32, menambah, dia dan suami, Haris Ismail, 26, menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan pihak berkuasa ke atas kedua-dua insiden berkenaan.

“Sekali lagi saya hendak memohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti hal ini dengan semua… Saya sepatutnya memberi contoh yang baik mengenai hal itu,” katanya.

“Alhamdulillah, hari ini selesai (proses beri keterangan dan kerjasama kepada polis). Saya dan suami pergi (beri keterangan) pada awal minggu ini, keluarga mentua beberapa hari lalu dan keluarga saya hari ini,” katanya.

Sementara itu, Neelofa turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam dengan harapan Ramadan kali ini lebih baik.

“Semoga Ramadan ini kita mendapat ketenangan dan keberkatan… Insya-Allah,” katanya.

Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan membabitkan majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz.

Neelofa selamat diijabkabulkan dengan Haris, iaitu pelakon dan pendakwah bebas yang juga dikenali sebagai PU Riz, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada 27 Mac lalu.

Isu pelanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial foto menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Neelofa juga mencetuskan kontroversi apabila memuat naik hantaran memaparkan kunjungannya ke Langkawi, lantas menimbulkan spekulasi pasangan ini sedang berbulan madu, beberapa hari selepas diijabkabulkan. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan