Home Ekonomi Perdagangan borong dan runcit Februari susut 0.9%

Perdagangan borong dan runcit Februari susut 0.9%

KUALA LUMPUR – Nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit bulan Februari merosot 0.9 peratus kepada RM108.0 bilion pada tahun ke tahun.

Kemerosotan ini adalah disebabkan oleh perdagangan runcit yang menguncup 2.1 peratus atau RM0.9 bilion kepada RM44.3 bilion.

Perdagangan borong susut sebanyak RM0.03 bilion atau -0.1 peratus untuk mencatatkan RM52.6 bilion.

Kenderaan bermotor juga menunjukkan tren yang sama dengan penurunan sebanyak RM0.01 bilion atau -0.1 peratus kepada RM11.1 bilion.

Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan menurun 3.4 peratus pada Februari 2021 berikutan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) ke seluruh negara kecuali Sarawak pada Februari 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, beralih kepada prestasi mengikut subsektor, bagi perdagangan runcit, kejatuhan 2.1 peratus disebabkan oleh jualan produk bukan keperluan iaitu penurunan pada jualan runcit di kedai pengkhususan dengan -6.6 peratus, jualan runcit barangan isi rumah -2.5 peratus dan jualan runcit barangan kesenian & rekreasi -3.2 peratus.

Walau bagaimanapun, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan terutamanya jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan 1.9 peratus kepada RM15.8 bilion tahun ke tahun, diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman & tembakau yang meningkat 6.2 peratus kepada RM2.8 bilion.

Jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar turut berkembang 9.3 peratus kepada RM0.4 bilion diikuti oleh jualan runcit di gerai & pasar yang naik 6.1 peratus kepada RM0.1 bilion.

Kejatuhan 0.1 peratus subsektor perdagangan borong tahun ke tahun pada Februari 2021 adalah disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang merosot 4.3 peratus, diikuti oleh jual borong bahan mentah prtanian & haiwan hidup dan jual borong.

Sebaliknya, jualan borong makanan, minuman & tembakau meningkat 5.4 peratus kepada RM10.0 bilion, diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah yang naik 3.4 peratus kepada RM10.6 bilion.

Jualan borong jentera, peralatan & bekalan juga berkembang 2.5 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.4 bilion.

Mohd Uzir menambaj, bagi kenderaan bermotor, penurunan 0.1 peratus pada bulan ini adalah disebabkan oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor yang jatuh 4.1 peratus untuk merekodkan RM2.8 bilion.

Ini diikuti oleh penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor turut menyusut 6.3 peratus kepada RM1.5 bilion.

Jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal juga turun 1.9 peratus kepada RM0.9 bilion.

Sebaliknya, jualan kenderaan bermotor menunjukkan peningkatan positif 3.8 peratus kepada RM6.0 bilion.

Bagi perbandingan bulan ke bulan yang mencatatkan penurunan 3.4 peratus, ia disebabkan oleh perdagangan borong yang jatuh 5.1 peratus atau penurunan RM2.8 bilion.

Perdagangan runcit turut menguncup RM1.4 bilion atau -3.0 peratus.

Bagaimanapun, kenderaan bermotor naik RM0.3 bilion atau 3.2 peratus pada tempoh yang sama.

Indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut melonjak dengan merekodkan pertumbuhan 23.1 peratus tahun ke tahun manakala bagi indeks jualan runcit dalam talian pelarasan musim, ia merosot 1.8 peratus berbanding bulan sebelum.

Manakala bagi indeks volum, perdagangan borong & runcit mencatatkan kejatuhan -1.1 peratus tahun ke tahun disebabkan oleh perdagangan runcit yang menurun 2.1 peratus, diikuti oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merosot -1.0 peratus dan -0.1 peratus. – MalaysiaGazette