Home Nasional Suami, isteri ditemui mati, lemas hidu asap arang

Suami, isteri ditemui mati, lemas hidu asap arang

logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri yang baru tiga tahun mendirikan rumah tangga ditemui meninggal dunia akibat sesak kerana menghidu asap arang.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di rumah sewa mereka di Bangsar pagi tadi.

Ketua Polis daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua mangsa ditemui oleh ejen hartanah yang telah ke tempat tinggal pasangan itu.

Katanya, pada jam sekitar 12.33 tengahari tadi polis menerima laporan dari seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun mengenai kematian lelaki tempatan dan isterinya yang merupakan warga Thailand.

Pasangan itu masing-masing berusia 46 dan 38 tahun dan tinggal di sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bangsar.

“Dalam laporannya, pengadu yang merupakan seorang ejen hartanah mendakwa telah menelefon kedua-dua mangsa beberapa kali namun panggilannya tidak dijawab.

“Sekitar jam 11 pagi tadi pengadu telah mendapatkan kunci daripada pemilik rumah berkenaan dan telah pergi ke alamat kejadian tersebut.

“Ejen hartanah berkenaan terkejut apabila mendapati kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri di bilik tidur sebelum segera menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan kejadian hari ini.

Tambah beliau, pasangan suami isteri itu telah menyewa rumah teres tiga tingkat itu pada 6 April lalu.

Anuar berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati pasangan ini telah membakar arang di dalam bilik serta menutup pintu dan tingkap.

“Pegawai Perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang mengesahkan kematian kedua-dua mangsa menjangka kematian berlaku lebih kurang 6 pagi atau 7 pagi kerana sesak nafas akibat menghidu asap arang yang dibakar dalam bilik mereka,” katanya.

Polis turut menemui sekeping nota yang ditulis mangsa untuk keluarga mereka.

Menurut Anuar, tiada unsur jenayah di dalam kes ini dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke PPUM untuk dibedah siasat.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,’ ujarnya. – MalaysiaGazette