Home Nasional Tampil buat laporan jika difitnah – Polis

Tampil buat laporan jika difitnah – Polis

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim (kiri) berbual mesra bersama Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 12 NOVEMBER 2018.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan membuat laporan polis jika merasakan diri mereka difitnah.

MELAKA – Polis menasihati Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tampil membuat laporan berhubung rakaman audio perbualan telefon yang tular, sekiranya benar diri mereka difitnah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima tujuh laporan daripada pelbagai pihak dan sehingga pagi ini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh dua pemimpin politik itu atau wakil mereka.

“Kita lihat daripada tempoh, reaksi orang ramai terhadap audio tersebut. Sekiranya ia sampai ke tahap orang ramai sudah rasa bimbang dan gusar, kita akan jalankan siasatan.

“Saya tidak dimaklumkan (laporan dibuat Ahmad Zahid dan Anwar), kita tunggu sajalah, kalau betul mengatakan beliau difitnah, tampillah membuat laporan demi kebaikan juga,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Bersepadu Op Khazanah (OBK) Siri 7 di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Katanya, tindakan susulan akan dilakukan apabila laporan dibuat dan kertas siasatan akan dibuka jika individu terbabit mendakwa dirinya difitnah.

“Proses menilai bukti termasuk analisis rakaman audio itu juga akan dijalankan apabila kertas siasatan dibuka,” katanya.

Berkaitan isu Geng Nicky, beliau berkata pihak berkuasa masih percaya Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang kini dalam buruan polis, masih berada di dalam negara.

“Ini kerana rangkaiannya semua telah ditangkap dan saya yakin pasukan khas di bawah Datuk Ketua Polis Johor (Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay), terus gigih untuk menilai apa juga maklumat yang dikongsikan orang ramai,” katanya.

— BERNAMA