Home Politik Waytha, henti taktik provokasi kamu – Veeran

Waytha, henti taktik provokasi kamu – Veeran

Veeran

KUALA LUMPUR -Tindakan memutar belit fakta serta melakukan provokasi terhadap masyarakat India berhubung isu perobohan kuil yang tidak mengikut undang-undang serta dibina di tanah milik kerajaan atau persendirian masih lagi berlaku.

Namun apa yang lebih menghairankan ialah tindak tanduk Presiden Advancement Party (MAP), P. Waytha Moorty yang sengaja memutarbelitkan kenyataan MIC berhubung isu kuil baru-baru ini.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC), Veeran Muniandy, sejak beberapa hari lalu, Waytha bersama ahli MAP  tampil mengeluarkan video memutar belit fakta berkenaan sehingga meresahkan masyarakat.

“Sebenarnya, saya langsung tidak faham dengan sikap Waytha ini. Beliau adalah individu yang pernah melakukan provokasi perobohan kuil sehingga masyarakat bangkit sekitar 2007 dan 2008 dulu.

“Tetapi apabila beliau berpeluang menjadi timbalan menteri dan Menteri tidak banyak pula perubahan yang dilakukan olehnya. Malah jika ada yang ingat lagi isu seperti kuil di Seafields, ketika itu Waytha berdiam diri sahaja.

“Anda ketika itu menteri penuh, mana pergi? Mana kelantangan kamu? Jangan cakap pasal kelantangan, patutnya anda sudah ada jalan penyelesaian kerana itulah perjuangan kamu menggunakan isu-isu seperti kuil dan agama. Namun pada masa itu kamu diam.

“Kini apabila sudah tidak ada jawatan dalam kerajaan, sudah tidak ada kuasa dan sokongan, kamu mula balik bercakap tentang agama dan isu kuil hanya untuk bangkitkan kemarahan dan provokasi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Sabtu lepas, Vigneswaran membuat teguran terhadap segelintir masyarakat India yang bertindak membina kuil di tanah orang lain yang mengakibatkan ianya dirobohkan pada satu waktu.

Teguran itu kemudian digunakan oleh Waytha kononnya MIC tidak akan membela nasib kuil-kuil di Malaysia.

Kata Vigneswaran, isu membabitkan keagamaan perlu diselesaikan secara berhemah demi mengelak sebarang pertikaian yang boleh membawa mudarat kepada semua.

Menurut beliau, sudah tiba masanya semua parti politik duduk di meja rundingan, berbincang antara satu sama lain dalam usaha mencari penyelesaian secara menyeluruh.

Antaranya kata beliau, melalui perbincangan dibuat perlu dihasilkan satu garis panduan bagi mengelak ia berulang lagi pada masa depan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Henti telagah isu kuil, kerjasama cari penyelesaian – Vigneswaran