Home Nasional Abdul Hamid seru pegawai, anggota polis angkat semula imej polis

Abdul Hamid seru pegawai, anggota polis angkat semula imej polis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Taman Angkat AmanitaÊKontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KLANG – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyeru pegawai kanan dalam Polis Diraja Malaysia yang sebelum ini menyimpang dan terlibat salah laku supaya kembali semula ke pangkal jalan demi mengangkat semula imej dan nama baik institusi keselamatan itu.

Menurut beliau, integriti pasukan itu perlu dipegang dan dipertahankan supaya pasukan ini tidak dicemuh oleh masyarakat.

“Walaupun sudah ada peningkatan dan nampak ada keikhlasan tetapi masih belum sampai tahap yang diharapkan.

“Saya menyeru sekali lagi kepada anak-anak buah saya supaya bersama-sama perbetulkan diri dan menjalankan tugas serta tanggungjawab seperti termaktub dalam undang-undang dan ikrar yang dibuat setiap kali sambutan Hari Peringatan Polis,” katanya ketika berucap semasa pelancaran Taman Angkat Amanita Penduduk Bandar Puteri Klang di sini.

Tambah beliau, adalah penting untuk setiap pegawai dan anggota polis mentauladani ikrar polis dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sepanjang masa demi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam.

Katanya, sekiranya integriti polis dapat dipertingkatkan, jawatan polis bukan sahaja dihormati dan penyampaian diiktiraf tetapi masyarakat juga akan memberi kerjasama yang baik.

Dalam ucapan pelancaran itu, Abdul Hamid berkata, Program Taman Angkat Skuad Aman Wanita PDRM (Amanita) akan mengeratkan kerjasama masyarakat setempat khususnya suri rumah dan pasukan polis wanita untuk mengekang kejadian jenayah di kawasan perumahan.

Katanya, program itu akan dipertimbangkan untuk diperluaskan ke kontinjen lain di seluruh negara sekiranya pelancaran di Taman Bandar Puteri Klang di sini membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Skuad Amanita bertanggungjawab menerima aduan dari penduduk dan akan menyalurkan kepada jabatan polis peringkat daerah.

“Ini bukan bermakna Amanita akan mengambil tindakan sebaliknya polis daerah akan menghantar pasukan untuk mengambil tindakan. begitu juga sekiranya ada jenayah dadah.

“Peranan Amanita adalah turun mendapatkan komitmen dan kerjasama penduduk untuk polis menggembleng tenaga mengekang jenayah dan tiada risiko keselamatan untuk Amanita kerana mereka tak digalak bertindak sendirian,” katanya. – MalaysiaGazette