KLUANG – Masalah penagihan dadah menjadi kebimbangan utama masyarakat yang paling banyak diadukan kepada Ketua Polis Johor menerusi Program Bersama Masyarakat pada hari kedua hari ini.
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penagihan dadah merupakan punca berlaku jenayah seperti kes samun, pecah rumah mahu pun ragut.
“Saya lihat banyak tempat yang saya pergi yang dibangkitkan ialah isu dadah. Isu dadah ini memang kita buat operasi berterusan untuk tangkap penagih untuk dikenakan hukuman atau perintah pemulihan atau sebagainya tapi sebab dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun lepas kita mengalami kekangan daripada segi lokap dan sebagainya.
“Penjara kalau ada kes terpaksa kita tangguhkan buat sementara,” katanya ketika ditemui pada Program Ketua Polis Johor Bersama Masyarakat di Tangkak.
Ayob Khan berkata, kegiatan jenayah akan dibanteras habis-habisan bagi memastikan negeri itu mencatatkan pengurangan indeks penyalahgunaan dadah pada masa depan.
“Sebab itu, saya tekankan di Johor ini bagi kes penagih yang sudah dua tiga kali kita tangkap, kita akan tangkap di bawah Seksyen 39C (Kanun Keseksaan) yang mana kita kenakan sama ada penjara lima tahun sebatan dan sebagainya.
“Yang itu kita gunakan di setiap daerah dan telah pun meningkatkan tangkapan,” katanya.
Kata Ayob Khan, hukuman penjara ke atas penagih dadah diakui membantu mengurangkan indeks jenayah secara keseluruhan.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan anggota polis supaya menjaga integriti sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Yang mana terlibat ini amat kecil namun penglibatan jumlah kecil inilah yang memberi imej 120, 000 orang lebih pegawai dan anggota PDRM.
“Jadi, kita kena membersihkan elemen negatif yang tidak ramai yang amat sedikit dalam polis ini supaya imej polis PDRM ini sentiasa bersih dan dihormati masyarakat,” katanya.
Dalam program hari ini, Ayob Khan bersama isterinya, Datin Zalena Mohd Ariffin menziarahi kawasan Perkampungan Orang Asli Pengkalan Tereh di Kluang sebelum ke Rumah Anak Yatim Sagil di Tangkak.
Ayob Khan dan isteri juga meluangkan masa kira-kira setengah jam di rumah anak-anak yatim berkenaan.
Dalam pada itu, bagi anak yatim dari Rumah Ana Yatim Islam Ledang, Muhammad Daniel Hakim Halim, 15, menganggap kunjungan Ayob Khan dan pasukan PDRM ke Tangkak memberikan keterujaan kepadanya dan rakan-rakannya.
“Kami kenal Tuan Ayob, gembira sebab tiada orang besar datang sini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi rakannya, Amira Diana Ramli juga rasa teruja menyambut kedatangan Ketua Polis Johor lebih-lebih lagi Ayob Khan yang dikenali dengan ketegasan dalam membanteras jenayah di negara ini.
“Saya dan kawan-kawan teruja melihat Datuk Ayob dan rombongannya dan kami rasa dihargainya,” katanya.- MalaysiaGazette
Anak yatim biasalah emak bapak bercerai-berai. Anak yatim piatu sebab kematian dan bukannya kehilangan ibu-bapa yang sepatutnya diutamakan supaya penjaganya dibalas bersama-sama nabi sallallhu ‘alaihi wasallam di syurga kelak menurut hadith sahih.
Harap membanteras dadah menjadi agenda no 1 Polis dan Kerajaan. Kita bimbang dadah digunkan sbg cara melemahkan org Bumiputera secara sembunyi. Yg dok membaham dadah anak2 Melayu. Yg menjual kaya raya tu bukan org Melayu. Yg sekongkong dlm agensi2 penguatkuasaan juga perlu banteras. Kita dah kesuntukan masa..