Home Ekonomi Niaga hadapan MSM catat dagangan turun naik minggu depan

Niaga hadapan MSM catat dagangan turun naik minggu depan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan turun naik minggu depan, menjelang pengumuman data mengenai pengeluaran, stok dan eksport.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata, pasaran akan memantau data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan diumumkan pada Isnin.

Selain itu, pelabur turut menunggu unjuran 1-10 April oleh penyelidik kargo, yang dijangka dikeluarkan minggu depan.

“Tumpuan adalah pada pengeluaran Mac. Bagaimanapun, harga dijangka kukuh tetapi turun naik.” katanya kepada Bernama, hari ini.

Awal minggu ini, Sathia berkata permintaan dan eksport global untuk produk minyak sawit akan menyaksikan pemulihan yang kukuh dari April hingga Jun 2021, terutamanya dari India dan China, yang kekurangan stok pada masa ini.

Beliau berkata stok China telah mengalami defisit selama beberapa bulan dengan data terkini menunjukkan stok mengalami defisit sebanyak 27 peratus.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng menjangka harga MSM diniagakan dalam kecenderungan negatif antara RM3,650 dan RM3,850 satu tan.

Pada minggu ini, pasaran MSM kebanyakannya tinggi dengan anggaran eksport lebih kukuh pada Mac oleh beberapa firma penyelidikan.

CGS-CIMB menjangka eksport minyak sawit naik 25 peratus bulan ke bulan pada Mac 2021, dijangka berikutan permintaan yang tinggi dari India susulan aktiviti menambah stok dan diskaun menarik berbanding minyak makan lain menjelang Ramadan.

Data oleh Persatuan Pengusaha Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan pengeluaran merosot enam peratus untuk tempoh 1- 5 April berbanding tempoh 1-5 Mac.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM kebanyakannya tinggi, dengan April 2021 naik RM133 kepada RM4,280 satu tan; Mei 2021 meningkat RM108 kepada RM4,055 satu tan; Jun 2021 menambah RM30 kepada RM3,767 satu tan; manakala Julai 2021 merosot RM19 kepada RM3,554 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 276,736 lot daripada 323,794 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 260,493 kontrak daripada 232,463 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan naik RM140 kepada RM4,300 satu tan daripada RM4,160 satu tan pada Jumaat minggu lepas. – MalaysiaGazette