Home Utama Pertukaran pegawai polis ditangguhkan ketika saya bercuti – Abdul Hamid

Pertukaran pegawai polis ditangguhkan ketika saya bercuti – Abdul Hamid

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2021.

KLANG – Ketua Polis Negara akan berjumpa dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan berhubung pertukaran jawatan pegawai-pegawai kanan polis yang telah ditangguhkan oleh Menteri Dalam Negeri itu.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penangguhan itu dibuat oleh menteri berkenaan ketika beliau sedang bercuti.

“Saya akan berjumpa dengan YB Menteri untuk menjelaskan kedudukan saya, tindakan saya mengeluarkan perintah pertukaran tersebut yang sepatutnya dilaksanakan.

“Saya sebagai Ketua Polis Negara dalam undang-undang menyatakan Command and Control, kawal selia PDRM ini adalah tanggungjawab saya sebagai Ketua Polis Negara,” katanya dalam sidang media di Taman Bandar Puteri, Klang di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penularan satu posting dalam Facebook kononnya campur tangan politik membabitkan Menteri Kabinet sehingga menyebabkan pertukaran ketua-ketua polis arahan menangguhkan pertukaran ketua polis.

Mesej itu ditulis: “Nampaknya campur tangan politik dalam Command dan Contriol of PDRM dah melampau..dengarnya pertukaran KP yang diarahkan oleh KPN ditangguhkan dulu atas arahan menteri.

Sebelum ini Abdul Hamid telah mengeluarkan arahan pertukaran pegawai kanan polis membabitkan seramai 71 orang termasuk ketua polis negeri yang akan berkuatkuasa 12 April ini.

Jelas Abdul Hamid lagi, beliau telah pun mengeluarkan arahan pertukaran tersebut untuk kebaikan semua, tidak ada apa-apa yang luar biasa.

“Saya mengeluarkan arahan pertukaran itu untuk kebaikan semua… tidak ada apa apa yang luar biasa.. jadi saat akhir berlaku, saya sedang bercuti sebenarnya…tiba tiba dapat arahan ditangguhkan.

“Saya akan berjumpa dengan beliau (menteri) dan memberikan penjelasan teliti mengapa ia perlu diteruskan (proses pertukaran pegawai kanan ),” tambah beliau.- MalaysiaGazette