KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Kerajaan Negeri Sabah berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pengeluar koko yang unggul.
Justeru, suatu langkah bersepadu akan diambil oleh kedua-dua pihak bagi meningkatkan dan saiz ladang koko.
Menterinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha ini dijangka dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka lebih-lebih lagi selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.
Perkara itu dicapai hasil kunjungan Mohd Khairuddin ke Sabah bagi memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri itu.
Dalam perbincangan yang berlangsung lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mencapai beberapa kesepakatan bagi memaju dan memperkasakan sektor agrikomoditi di Sabah khususnya di peringkat huluan.
Kerjasama yang bakal dijalinkan ini melibatkan empat sektor agrikomoditi iaitu buluh, koko, getah dan sawit.
Bagi sektor buluh, Kerajaan Negeri Sabah akan menyediakan tanah yang dikendalikan oleh salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri.
Peranan KPPK adalah memadankan dengan syarikat swasta berkaitan buluh di peringkat hiliran bagi melengkapkan kitaran pasaran komoditi itu nanti.
Menurut Mohd Khairuddin, persetujuan konsensus turut dicapai membabitkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) yang bakal diperluaskan di negeri berkenaan khusus bagi penghasilan getah krip.
Ini bersesuaian dengaan Sabah yang mempunyai ramai pekebun getah.
Tambahnya, persefahaman yang dipersetujui seterusnya adalah dalam memperkasakan promosi kemampanan dan kelestarian hutan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF), sebuah yayasan di bawah agensi KPPK iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Beberapa program yang signifikan telah dan sedang dilaksanakan antaranya Inventori Populasi Orang Utan Sabah, menanam sejuta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian dari Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua dan Projek Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo dan ini bakal diperkukuhkan lagi dengan aktiviti-aktiviti baharu yang berterusan.
Mohd Khairuddin brrharap kerjasama erat yang dijalinkan dengan Kerajaan Negeri Sabah ini, bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi sektor agrikomoditi negara selari dengan usaha memulihara flora dan fauna negara. – MalaysiaGazette