Home Nasional Kanak-kanak maut kereta dipandu bapa hilang kawalan akibat tayar pecah

Kanak-kanak maut kereta dipandu bapa hilang kawalan akibat tayar pecah

Seorang kanak-kanak maut selepas MPV dipandu bapanya hilang kawalan akibat tayar pecah.

SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu bapanya hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 124 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara semalam.

Mangsa, Iman Naufal Mohd Firdaus, 28 bulan, dilaporkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati MPV jenis Nissan Livina itu dinaiki lima sekeluarga yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

“Pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka berusia lingkungan 28 bulan hingga tujuh tahun itu dalam perjalanan dari Seberang Jaya menghala ke Perlis.

“Bagaimanapun, ketika memandu di kilometer 124 lebuh raya itu tiba-tiba tayar kiri bahagian belakang MPV itu pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan.

Keadaan tayar kiri bahagian belakang MPV yang dipandu bapa mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, anak pemandu berkenaan yang berada di bahagian penumpang belakang maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa membuat pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berpunca daripada kerosakan teknikal. – MalaysiaGazette