Home Nasional Masih belum putus amalan bercanggah ajaran Islam – Mufti Pahang

Masih belum putus amalan bercanggah ajaran Islam – Mufti Pahang

Majlis Perasmian Pondok Raudatul Iman, di Kampung Padang, Kuantan dirasmikan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) masih belum memutuskan sama ada amalan oleh seorang pengamal perubatan tradisional yang mati ditembak baru-baru ini bercanggah dengan ajaran Islam

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, malah kes itu masih disiasat polis.

“Masih belum diputuskan sama ada amalan perubatan terbabit bercanggah atau tidak,” katanya selepas majlis perasmian Pondok Raudatul Iman, Kampung Padang bersama Mudir Pondok Raudatul Imam, Fairus Mohamed di sini, hari ini.

Pondok Raudatul Imam merupakan penempatan bagi golongan asnaf dan mualaf mula beroperasi sejak dua minggu lalu.

Pada 5 April lalu mangsa, Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, ditemui mati kira-kira jam 11 malam dengan kesan darah kering di kepala serta mempunyai luka tembakan di Bukit Rangin Perdana 2, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa tinggal berseorangan di rumah sewa ibunya semasa kejadian kerana isterinya sedang berpantang di rumah keluarganya di Pekan selepas melahirkan anak.

Menurut Abdul Rahman, disebabkan insiden itu, beliau mengharapkan orang ramai tampil membuat aduan jika ada perkara yang meragukan agar JAIP dapat membuat siasatan.

Sementara itu, Abdul Rahman berharap agar pengurusan pondok itu dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan Kerajaan Negeri Pahang.

“Walau bagaimanapun, pondok masih belum berdaftar secara rasmi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan akan dijadikan tempat beribadat di samping melakukan kerja-kerja kebajikan”. – MalaysiaGazette.