Home Nasional Warga emas maut diseret 3 kilometer

Warga emas maut diseret 3 kilometer

Warga emas berusia 80 tahun maut setelah diseret sejauh tiga kilometer dalam nahas di Kilometer 10, Jalan Jerantut-Temerloh.

KUANTAN – Seorang penunggang motosikal warga emas maut akibat diseret sejauh tiga kilometer selepas dirempuh sebuah pikap di Kilometer 10, Jalan Jerantut-Temerloh.

Dalam insiden jam 8.30 pagi semalam, mangsa Abu Samah @ Mohd Tahir Singah, 80, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada sebelah kiri muka dan bahu manakala kaki kiri dan tulang rusuk mangsa patah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Tan Sri Yahya Songsang menunggang motosikal EX5 dari arah Jerantut menuju ke arah Temerloh.

“Setiba di tempat kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai membelok untuk memasuki simpang di sebelah kanan sebelum dirempuh Nissan Frontier yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa diseret bersama motosikal sejauh tiga kilometer sebelum jatuh di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan mendapati kemalangan menyebabkan motosikal terbabit kemek pada sisi kiri manakala Nissan Frontier kemek di bahagian hadapan sebelah kanan.

“Nissan Frontier dipandu oleh seorang lelaki warganegara Indonesia yang tinggal di Kampung Paya Keladan dan dinaiki bersama dua penumpang warga Bangladesh

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.

Bagaimanapun suspek, Riami Hartono, berusia 46 tahun dan penumpang lain tidak mengalami kecederaan, ujarnya.

Menurut Mohd Yusri, suspek direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Suspek direman hari ini 11 April sehingga 14 April 2021” katanya. – MalaysiaGazette