KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur akan menerima sumbangan program Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin dengan peruntukan berjumlah RM1,000,000.
Menurut Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid, program ini dilaksanakan dengan kerjasama PTPTN dan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (DANA KITA) untuk membantu mengurus dan menyelaras agihan sumbangan.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, RM500,000 disalurkan kepada DANA KITA sebagai persediaan menyediakan bantuan.
“Kami yakin Pertubuhan Kebajikan Dana Kita sebagai pertubuhan kebajikan yang bergiat aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program-program amal akan dapat bekerjasama dengan PTPTN bagi merealisasikan hasrat murni ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pelepasan Bantuan Skuad PTPTN Prihatin.
Jelas beliau, sumbangan yang diagihkan melalui kerjasama ini, meliputi bantuan berbentuk keperluan harian seperti beras, minyak masak dan sebagainya.
Sebanyak RM500,000 akan diberikan dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebagai galakan untuk menabung.
“Oleh itu, secara keseluruhannya setiap keluarga asnaf akan menerima sumbangan RM200 berupa barangan keperluan (RM100) dan selebihnya dalam bentuk akaun SSPN-i bagi seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah dalam keluarga tersebut,” tambah Ahmad Dasuki.
Bagi memastikan sumbangan disalurkan dengan lancar dan berkesan, kata Ahmad Dasuki, PTPTN menubuhkan pasukan sukarelawan iaitu Skuad PTPTN Prihatin.
“Sebenarnya idea penubuhan Skuad PTPTN Prihatin bermula susulan daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN dalam membantu masyarakat ekoran daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Objektif Skuad PTPTN Prihatin adalah untuk melaksanakan dan menggerakkan program kesukarelawan dan kemanusiaan yang diterajui oleh PTPTN,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Presiden DANA KITA, Muhammad Irwan Omar.-MalaysiaGazette