TEHRAN – Ganggan elektrik yang berlaku di pusat kemudahan nuklear Iran di Natanz pada hari Ahad adalah tindakan pengganas, menurut pegawai Iran.
Kejadian itu berlaku selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani melancarkan sentrifugal uranium dengan teknologi baharu, yang merupakan kunci kepada program pengayaan uranium negara itu, dalam sebuah majlis yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen.
Pegawai itu tidak menamakan sesiapa yang bertanggungjawab tetapi menggesa komuniti antarabangsa untuk menangani pengganas.
Media Israel mencadangkan kejadian itu adalah akibat serangan siber Israel.
Tahun lalu, kebakaran berlaku di kemudahan bawah tanah Natanz, yang didakwa hasil sabotaj siber.
Insiden terbaharu berlaku ketika usaha diplomatik untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 – yang ditarik balik oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah pemerintahan Donald Trump pada tahun 2018.
Sentrifugal diperlukan untuk menghasilkan uranium yang diperkaya, yang dapat digunakan untuk membuat bahan bakar reaktor – tetapi juga bahan untuk senjata nuklear.
Pelancaran itu dilihat menunjukkan pelanggaran Iran dalam perjanjian 2015, yang hanya mengizinkan Iran untuk menghasilkan dan menyimpan sejumlah kecil uranium yang diperkaya untuk menghasilkan bahan bakar untuk loji tenaga nuklear komersial.
Pada hari Ahad, jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI), Behrouz Kamalvandi, mengatakan “insiden” telah berlaku pada waktu pagi yang melibatkan rangkaian kuasa kemudahan nuklear.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskannya dengan terperinci tetapi memberitahu agensi berita Iran, Fars “tidak ada korban jiwa atau kebocoran”.
Televisyen kerajaan kemudian membacakan kenyataan Ketua AEOI, Ali Akbar Salehi, yang mana beliau menyifatkan kejadian itu sebagai “sabotaj” dan “keganasan nuklear”.
“Mengutuk tindakan yang hina ini, Iran menekankan perlunya masyarakat antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa [IAEA] menangani keganasan nuklear ini.
“Iran berhak untuk mengambil tindakan terhadap pelaku,” tegasnya.
IAEA mengatakan pihaknya mengetahui laporan kejadian tetapi tidak akan memberi komen.
Pada bulan Julai tahun lalu, Iran mendakwa kebakaran yang berlaku di pusat bengkel Sentrifugal di Nantaz adalah angkara sabotaj. – MalaysiaGazette