KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyeru agar semua pihak dapat bersama-sama mempromosikan tulisan Jawi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu perlu terus digemblengkan agar tulisan jawi tidak hilang ditelan zaman.
“Saya berharap agar institusi-institusi utama seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Badan Bukan Kerajaan atau NGO akan bersama mempromosi aspek budaya dan warisan melalui aksara jawi kerana tentunya sebagai sebuah negara bangsa, kita tidak mahu kehilangan identiti.
“Dalam hal ini, semangat, roh serta perkembangan tulisan jawi ini mesti sentiasa dihidupkan,” katanya letika melancarkan buku Budi Asas Tamadun nukilan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan pameran jawi jiwa bangsa seni tonggak budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini, hari ini.
Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Gesaan itu turut dipanjangkan kepada sektor awam dan syarikat korporat di negara ini.
Jelas Muhyiddin, tulisan Jawi adalah jati diri kaum Melayu di negara ini yang perlu dipelihara.
“Saya juga menyeru kepada syarikat-syarikat korporat terutamanya syarikat milik kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri agar memperbanyakkan penggunaan tulisan jawi sama ada dalam segmen papan tanda, acara festival dan sebagainya,” ujar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, fungsi Jawi amat penting dalam sejarah negara dan dengan itu, sudah sampai masanya untuk semua pihak menghidupkan semula penulisan jawi.
“Sampai sudah masanya bagi kita ‘mengapungkan semula teras terendam’, menghidupkan semula warisan bangsa yang penuh daya tarikan, aspek estetika, seni dan mesej penggembelingan nilai ini.
“Seperti yang dimaklum, Kementerian Pendidikan telah mula menggalakkan pembelajaran jawi elektif bagi pelajar-pelajar yang berkelayakan tanpa paksa.
“Saya berpandangan bahawa setiap bangsa harus tidak mengabaikan elemen atau unsur-unsur warisan bangsanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette