Home Nasional Warga asing boleh lanjut tempoh PLS jika hadapi kekangan pulang ke negara...

Warga asing boleh lanjut tempoh PLS jika hadapi kekangan pulang ke negara asal

Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Warga asing yang menyalahguna Pas Lawatan Sosial (PLS) perlu meninggalkan negara ini selewat-lewatnya pada 21 April ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kegagalan mereka berbuat demikian boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan lebih tegas.

“Sekiranya, mereka (warga asing) yang memegang PLS itu mempunyai sebarang kekangan untuk pulang ke negara asal mereka pada tarikh tersebut, boleh memohon Pas Khas untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini.

“Namun permohonan lanjut tempoh tinggal itu perlulah disokong oleh kedutaan masing-masing iaitu hendaklah disertakan dokumen pembuktian mengenai tempat tinggal dan kemampuan kewangan sepanjang berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, antara penyalahgunaan PLS ialah mereka bekerja di pusat hiburan, rumah urut dan melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran, penipuan serta kesalahan yang melanggar undang-undang.

“Sepanjang tahun 2020 dan 2021 sehingga hari ini JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) telah menjalankan sebanyak 291 operasi penguatkuasaan ke atas premis hiburan dan rumah urut. Hasilnya seramai 1,281 warga asing dan 83 majikan telah ditahan.

“Warganegara asing yang diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini atas PLS berkenaaan hendaklah mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen,” ujarnya. – MalaysiaGazette