SEBERANG PERAI – Sindiket judi online kini dilihat semakin terdesak apabila menjadikan kereta sebagai pusat aktiviti perjudian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Bagaimanapun taktik licik sindiket itu gagal apabila sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) membongkar kegiatan tersebut menerusi 12 serbuan di sekitar Butterworth.
Operasi bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam itu membawa kepada tangkapan 19 individu termasuk empat pelanggan.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, individu yang ditahan membabitkan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun.
Katanya, hasil serbuan mendapati rata-rata sindiket menjadi kereta, kedai kopi, kedai telefon serta premis persendirian sebagai lokasi operasi kegiatan haram tersebut.
“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket ini mencari pelbagai taktik baru untuk berselindung agar kegiatan haram mereka tidak dikesan pihak polis.
“Selain itu, siasatan juga mendapati beberapa premis berkenaan pernah diserbu dalam tempoh dua tahun lalu atas kesalahan sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Noorzainy menegaskan pelbagai barang yang dipercayai untuk kegunaan judi online dirampas dalam serbuan tersebut.
“Antara yang dirampas sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dijadikan sebagai lokasi operasi judi online, wang tunai RM13,581, 14 buah telefon bimbit dan 79 kertas bercetak angka.
“Selain itu, kita juga meminta bantuan pihak Tenaga Nasional Berhad untuk membuat pemotongan bekalan elektrik di premis terbabit,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – MalaysiaGazette