Home Nasional Kertas siasatan Neelofa sudah dirujuk DPP

Kertas siasatan Neelofa sudah dirujuk DPP

Neelofa. Foto MOHD ADZLAN, 05 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan Neelofa berhubung isu ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam majlis pernikahannya baru-baru ini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu lalu.

Ketua Polis daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis kini sedang menantikan arahan lanjut dari DPP.

Katanya, dalam laporan lengkap itu, polis mengesyorkan kompaun tegas ke atas  penganjur majlis pernikahan Neelofa dan individu-individu berkaitan bagi mengelak kesalahan seumpama itu tidak diulangi oleh pihak lain.

“Kertas siasatan telah selesai dan sudah pun dihantar kepada DPP pada minggu lalu.

“Dalam kertas siasatan itu kita sudah cadangkan kepada DPP untuk tindakan kompuan yang bersesuaian dengan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan dalam majlis perkahwinan Neelofa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 5 April lalu, Mohamad Zainal mengesahkan kepada MalaysiaGazette bahawa Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, telah selesai dirakam keterangan oleh polis di Ibu Pejabat daerah Dang Wangi.

Katanya, artis berkenaan tampil bersama suaminya ke IPD berkenaan sebelum Maghrib antara jam 6 hingga 7.30 malam untuk memberikan keterangan kepada polis bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Neelofa sepatutnya dikehendaki hadir memberi keterangan kepada polis pada 6 April lalu namun tampil secara sukarela sehari sebelum itu untuk menyelesaikan isu tersebut. – MalaysiaGazette