Home Dunia La Soufriere keluarkan letupan paling kuat

La Soufriere keluarkan letupan paling kuat

Abu tebal dari letusan La Soufriere menutupi jalan raya, kediaman dan pokok-pokok di St Vincent. foto Agensi

KINGTOWN – Aliran panas abu, serpihan batu dan gas merobohkan sisi gunung berapi La Soufriere di Pulau Saint Vincent, pulau kecil di Caribbean selepas letupan paling kuat berlaku.

Letupan itu berlaku selepas empat hari ia meletus.

La Soufriere meletus semula pada hari Jumaat setelah puluhan tahun tidak aktif, menyebabkan awan gelap sekitar 10km (6 batu) ke udara.

Letupan itu berlaku pada hari Isnin sekitar pukul 4 pagi waktu tempatan adalah paling kuat setakat ini, kata Erouscilla Joseph, Pengarah Pusat Penyelidikan Seismik Universiti Hindia Barat.

Beliau turut memberi amaran bahawa letusan boleh menyebabkan lumpur ketika abu mengalir ke sungai.

“Kami menjangkakan lebih banyak letupan akan terjadi dalam beberapa hari hingga beberapa minggu,” katanya.

Saint Vincent dan Grenadines, mempunyai lebih daripada 100,000 orang penduduk tidak pernahmengalami aktiviti gunung berapi sejak tahun 1979.

Letusan La Soufriere – yang bermaksud “kawasan belerang” dalam bahasa Perancis – pada tahun 1902 telah membunuh lebih daripada 1,000 orang.

Setakat ini negara-negara jiran telah menjanjikan bantuan.

Sebuah kapal tentera laut dari Venezuela tiba pada hari Isnin membawa 20 tan bekalan dan lebih dari 12 kakitangan perubatan kecemasan terlatih.

Bencana itu menyebabkan operasi pemindahan penduduk dengan menggunakan pengangkutan laut dan darat terpaksa dilakukan.

Pengangkutan udara turut dihentikan manakala bekalan air dan elektrik juga terpaksa dipotong.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada kes kematian. – MalaysiaGazette