KUALA TERENGGANU – Kompleks Seri Iman di sini ditutup selama tiga hari bermula hari ini berikutan terdapat 11 kes positif COVID-19 di bangunan pusat pentadbiran tersebut.
Penutupan itu membabitkan enam premis pejabat di bangunan berkenaan iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata perintah penutupan premis itu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembasmian kuman untuk mengawal penyakit berjangkit merebak.
Setakat ini, terdapat 177 kes aktif COVID-19 di seluruh Terengganu dan kesemua pesakit berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa.
— BERNAMA