KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkongsi pengalaman hari pertama Ramadan semalam apabila anak sulungnya, Kingston merajuk tiada rakan-rakan Muslim yang ingin makan bersamanya.
Menerusi kisah panjang lebar di Facebook miliknya, Chong Wei berkata, anaknya juga meluahkan rasa pelik kenapa dia perlu makan di tempat berasingan daripada kawan-kawannya itu.
Namun Chong Wei berjaya menerangkan kepada Kingston bahawa rakan-rakan Muslimnya sudah mula berpuasa sejak semalam.
Itu pengalaman pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik yang mengumumkan persaraannya Julai 2019 atas faktor kesihatan yang mana dia baru pulih daripada kanser hidung.
“Papa, I ada soalan nak tanya” ditanya anak saya @kingstonleekc dalam perjalanan dari sekolah tadi.
“Tadi masa waktu rehat, saya berkongsi makanan dan minuman dengan rakan sekelas. Ada dua orang kawan baik saya, Syihan dan Amli tak nak makan. Kenapa ?” Muka anak terus muram bagai kaca ditimpa batu.
Tidak sempat saya menjawab, dia terus sambung “Pastu I pon dinasihat cikgu supaya makan di sudut jauh dari segelintir kawan-kawan I. Apa salah say a, papa?”
“Tergamam aku dibuatnya seketika. Salah saya juga sebenarnya kerana tidak memberi penjelasan bulan puasa sebelum ini.
“Koko, you tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan Cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa tu. Jadi, kamu kena nasihat kawan-kawan Cina India lain, mesti sokong kawan-kawan Melayu ni menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak-ansur dan hormat sesama lain,”.
“Sulung yang kini dah 8 tahun sudah start menunjukkan sikap memberontak. “Kenapa kena bertolak ansur ? Saya makan saya punya hal, dia puasa dia punya hal” .
“Belum sempat saya marah, tangan penampar @wongmewchoo terus melanda ke atas tangan anak. Tahulah saya dia pandai smash gak, tapi memang laju tangan dia kali ni. Sulung pun menangis bertanya sebab.
“Kalau kita tak bertolak ansur, koko tidak akan ada kawan Amli dan Syihan lagi. Bayangkan kalau tak bertolak ansur, koko main mercun semasa New Year mestinya dimaki. Jika tidak hormat, kawan India buat perarakan Thaipusam semestinya dihalang. Andainya tidak menghormati sesama lain, tak mungkin shopping mall KL ada Christmas tree masa Christmas.
“Kita menang bola dan Thomas Cup pun sebab kita bertolak ansur dan bersatu padu,” katanya.
Dengan muka menyesal, pendek sahaja jawapan anak saya “Saya mahu berkawan baik dengan Amli dan Syihan” .
Itulah cerita hari ni. Saya Chong Wei dan Mew Choo sekeluarga ingin memohon-maaf dan mengucapkan Selamat Berbulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam. Have a blessed puasa month.
Batu Covid pasti berudang,
Diharap bersabar sesama sembahyang;
Petunjuk Ramadhan moga diundang,
Semoga Raya di kampung tersayang. – MalaysiaGazette