Home Nasional SWCorp Pahang nafi Alam Flora tidak beroperasi 14 hari

SWCorp Pahang nafi Alam Flora tidak beroperasi 14 hari

Petugas Alam Flora melakukan rutin tugasan pegurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

KUANTAN –  Pihak Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang menafikan ura-ura yang menyatakan operasi kutipan bagi pegurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di daerah Kuantan oleh Alam Flora tidak akan beroperasi selama 14 hari bermula esok.

Sharudin Hamid

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya menafikan khabar angin tersebut namun mengakui seramai 16 kakitangan Alam Flora dikurantin manakala lebih 500 pekerja pula menjalani ujian calit Covid-19.

Sebaliknya, menurut beliau, dijangkakan berlaku perubahan operasi dari segi masa dan tarikh bagi tempoh lima hingga 10 hari bermula hari ini.

“Hal ini adalah bertujuan untuk memberi laluan kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 dijalankan ke atas warga kerja dan petugas pembersihan di seluruh Kuantan.

Jadual tugasan Alam Flora Sdn Bhd dijangkakan berlaku perubahan dari segi masa dan tarikh bagi tempoh lima hingga 10 hari bermula hari ini bagi daerah Kuantan.

“Langkah proaktif telah diambil oleh pihak Alam Flora Sdn. Bhd. dengan mengatur petugas pembersihan tambahan untuk mengambil alih kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam sepanjang tempoh terlibat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu Sharudin berkata, orang ramai perlu merujuk laman media sosial rasmi SWCorp Pahang untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat.

Terdahulu, tular satu kenyataan di media sosial facebook di kalangan warga Kuantan berkaitan “Pandai-pandailah buang sampah sendiri, lori sampah tidak bergerak selama 2 minggu”.

Sebarang aduan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Aduan Sisa (1-800-88-7472) – MalaysiaGazette