Home Sukan Nik Sharif semakin pulih, kembali beraksi awal Mei

Nik Sharif semakin pulih, kembali beraksi awal Mei

Nik Sharif Haseefy.

KUALA LUMPUR – Penantian penyokong Selangor untuk melihat aksi pemain sayap lincah, Nik Sharif Haseefy di atas padang bakal berakhir apabila dia disahkan akan menyertai sesi latihan pasukan pada penghujung bulan ini atau awal bulan depan.

Pemain yang berusia 23 tahun itu belum melakukan penampilan sulung dalam saingan Liga Malaysia musim ini kerana mengalami kecederaan di buku lali kirinya semasa menjalani latihan pramusim.

“Nik Sharif telah selesai menjalani tempoh rawatan dengan sempurna pada bulan Mac yang lalu dan beliau sekarang sedang melakukan sesi meningkatkan kekuatan (strenghtening) selain sudah mula berlari untuk mengembalikan kecergasan.

“Dia dijangka kembali berlatih bersama pasukan utama pada penghujung bulan ini atau pada bulan awal Mei ini,” kata kenyataan itu.

Nik Sharif sebelum ini menjadi bualan peminat bola sepak tempatan selepas mempamerkan prestasi menakjubkan dengan menjaringkan tiga gol serta bantuan assist dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super bersama pasukan Pahang pada musim 2020.

Pencapaian hebat tersebut telah menarik minat Selangor untuk mendapatkan khidmat pemain itu bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan.

Selain Nik Sharif, tiga lagi pemain Selangor masih menjalani proses pemulihan iaitu Halim Saari, Wan Zack Haikal dan yang terbaharu, Tim Heubach mengalami kecederaan jangka masa panjang untuk musim ini. – MalaysiaGazette