Home Nasional Perketat SOP tanpa mengira darjat, kayangan atau rakyat marhaen – Shahir

Perketat SOP tanpa mengira darjat, kayangan atau rakyat marhaen – Shahir

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan ia menjadi separa masak lagi, sebagaimana yang berlaku pada PKP 2.0.

Menurutnya, SOP yang lebih ketat itu juga perlu dikenakan tanpa mengikut pangkat dan darjat, antara kayangan dan rakyat marhaen.

“DPIM berharap kerajaan Perikatan Nasional tidak mengulangi kesilapan PKP 2.0 yang separuh masak dengan penuh kelonggaran bagi kilang-kilang, pusat beli belah, kedai-kedai emas dan sebagainya.

“Akibatnya, PKP 2.0 gagal mencapai objektif apabila kes harian masih berlegar antara 1,000 hingga 2,000 sehari.

“Pada masa yang sama, menteri-menteri banyak melanggar SOP PKP atau PKPB dengan memperhebat penganjuran majlis-majlis besar dan tidak penting seperti ‘fun ride’ basikal. Akibatnya, rakyat turut mengambil mudah untuk patuh kepada SOP yang ditetapkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Shahir berkata, peningkatan trend Ro melebihi 1.0 yang menyaksikan trend jangkitan Covid-19 di negara ini dilihat semakin menjadi-jadi.

Malah katanya, keadaan menyaksikan banyak daerah di Kelantan diisytiharkan PKP selama dua minggu.

Justeru beliau berkata, langkah memperketatkan SOP dijangka mampu mengurangkan penularan wabak tersebut daripada terus menjadi-jadi.

Dalam pada itu Shahir berpendapat, Parlimen juga boleh dibuka sekiranya semua pihak telah mendapatkan vaksin Covid-19.

Katanya, prestasi vaksinasi Covid-19 di Malaysia amat perlahan jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura dan Indonesia.

Pada masa sama kata beliau, negara ini juga terkebelakang jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Bangladesh dan India.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri bertanggungjawab umpama melepaskan batuk di tangga apabila menyalahkan kelembapan penerimaan vaksin dan monopoli negara maju sebagai penyebab kadar vaksinasi negara kita perlahan, iaitu hanya 1.88 peratus sahaja yang telah divaksin daripada jumlah keseluruhan penduduk negara kita.

“Persoalannya, adakah Bangladesh setaraf dengan negara maju yang lain berbanding Malaysia? ” soal beliau. – MalaysiaGazette