Home Nasional Siti Khadijah, AEON kerjasama baik pulih surau angkat

Siti Khadijah, AEON kerjasama baik pulih surau angkat

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan (dua kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Eksekutif, Jualan dan Pemasaran Siti Khadijah, Mohd Munzir Aminuddin (kiri) ketika melawat ruang dalam Surau Angkat Siti Khadijah di Pasaraya AEON Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2021.
SHAH ALAM – Pelopor industri fesyen telekung, Siti Khadijah (SK) hari ini menjalinkan kerjasama dengan AEON Mall, di sini, dengan mengambil surau di pusat membeli belah itu sebagai ‘surau angkat’.
Pengarah Eksekutif Jualan & Pemasarannya, Mohd Munzir Amiruddin berkata, pihaknya memperuntukkan sehingga RM15,000 bagi menambah baik surau sedia ada di pusat membeli belah itu.
“Surau angkat ini bertujuan memberi kemudahan kepada orang awam dalam bentuk kemudahan fasiliti solat yang lebih selesa.
“AEON Mall dikenali menyediakan satu surau yang selesa, SK pula mengeluarkan satu telekung yang selesa
“Bila kedua-dua pihak ini bekerjasama, ia beri kesan lebih baik dan memberi persepsi kepada pengguna bahawa surau mesti bagus,” katanya pada sidang media di AEON Mall, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan dan Ketua Sumber Manusia dan Komunikasi Korporat Kumpulan AEON Malaysia, Dr Kasuma Satria.
Menurut Mohd Munzir, inisiatif itu merupakan tanggungjawab korporat sosial SK di mana surau AEON Mall, di sini, merupakan surau angkat pertama dilaksanakan.
“Idea surau angkat ini dirancang seawal Disember 2020 tercetus selepas melihat peluang untuk menambah baik persekitaran dan suasana surau.
“Kalau ikut perancangan SK nak angkat tiga surau pertama, memandangkan keadaan tidak menentu kita buat satu surau dulu.
“Pemilihan surau angkat ini berdasarkan kadar trafik yang tinggi di surau dan outlet SK yang terbaik,” jelasnya.
Dalam pada itu, SK juga menawarkan platform wakaf bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada surau angkat tersebut.
“Kita selaraskan dari segi wakaf kita sediakan platform, kita ada Kod QR dan orang ramai boleh terus scan dan masuk laman sesawang CSR SK.
 
“Orang ramai boleh pilih urau mana yang dia nak bagi tujuan wakaf dengan serendah RM10 hingga RM50 bagi setiap sumbangan. 
 
“Sumbangan itu tadi akan ditukar dalam bentuk telekung dan peralatan lain seperti tisu buang alat solek bagi wanita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette