Home Nasional SOP bazar Ramadan akan teratur dalam lima hari – Zuraida

SOP bazar Ramadan akan teratur dalam lima hari – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Langat Utama, Kuala Langat. Foto HAFIZ SOHAIMI, 15 MAC 2021.

BANTING – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) percaya Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar Ramadan akan lebih teratur dalam masa lima hari dengan penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, PBT akan tetap menggunakan SOP sedia ada yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya percaya dalam masa lima hari lagi ia akan teratur dan tersusun.

“SOP sudah sedia ada daripada PKP pertama, jadi tidak perlu ada SOP baru, mereka kena rujuk kepada SOP sama untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Tidak jadi isu, SOP mudah pakai pelitup mulut dan hidung, jaga penjarakan itu sahaja perkara asas yang mereka harus ikut peraturan yang diaturkan dalam bazar Ramadan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke Majlis Perbandaran Kuala Langat, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mulai Rabu KKM telah menurunkan kuasa mengkompaun kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Gred 19 bagi kesalahan di bawah Akta 342.

Kata Ismail Sabri, ia termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar-bazar Ramadan.

Jelas Zuraida, buat masa ini kerajaan harus memastikan setiap individu yang mengunjungi bazar Ramadan terus mematuhi SOP yang telah dilaksanakan.

“Memang kita lihat ada gambar yang viral nampak tidak ikut SOP dari segi penjarakan terutamanya sebab ini minggu pertama rakyat masih baru dapat terlepas ke bazar Ramadan, jadi mereka teruja masih lagi tidak terurus dan teratur,” katanya.

KKM menetapkan enam SOP bagi kawasan PKPB dan PKPP yang perlu dipatuhi oleh pengunjung dan peniaga.

Antaranya kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal 1 meter, penyediaan cecair pembersih tangan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk, peniaga dan pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan KKM ketika berada di bazar.

Dalam pada itu, peniaga diwajibkan menyediakan kemudahan QR code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan, pelanggan diwajibkan mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon, dan tidak membenarkan mana-mana peniaga dan pelanggan yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius untuk memasuki bazar Ramadan. – MalaysiaGazette