Home Nasional Tutup bazar Ramadan jika pelanggaran SOP berterusan – Sahabudin

Tutup bazar Ramadan jika pelanggaran SOP berterusan – Sahabudin

Sahabudin (kanan) meninjau pematuhan SOP di bazar Ramadan anjuran Liga Muslim di Lebuh Queen di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menasihatkan penganjur serta pengunjung bazar Ramadan di negeri itu untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak sebarang tindakan drastik diambil termasuk penutupan bazar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya akan mencadangkan penutupan ke atas bazar Ramadan yang dilihat berlaku pelanggaran SOP secara berterusan.

Sahabudin Abd Manan.

“Kita akan berbincang dengan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mengambil tindakan drastik termasuk penutupan sekiranya pihak penganjur gagal mengawal keadaan dan pelanggaran SOP berterusan di mana-mana bazar Ramadan negeri ini.

“Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan dibuat oleh pihak polis bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta pihak berkuasa tempatan setakat ini, kita dapati keseluruhan bazar Ramadan di negeri ini mematuhi SOP ditetapkan.

“Hari awal pembukaan orang ramai tetapi dengan adanya penguat kuasa, Alhamduillah kita dapat kawal keadaan,” katanya.

Sahabudin (kanan) berbual dengan penganjur bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pematuhan SOP di Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim di Lebuh Queen di sini hari ini.

Justeru, Sahabudin menasihatkan penganjur dan pengunjung sentiasa mematuhi SOP agar semua umat Islam di negeri itu dalam menjalani ibadah puasa dengan sempurna. – MalaysiaGazette