Home Nasional Yazirruddin terima manfaat perlindungan pendeposit SSPN-i

Yazirruddin terima manfaat perlindungan pendeposit SSPN-i

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) bersama isteri Yaziruddin Md Som selepas menyerahkan manfaat takaful di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyerahkan manfaat perlindungan takaful kepada seorang pendeposit SSPN-i, Yazirruddin Md Som di kediamannya di Kampung Jalan Kebun di sini hari ini.

Penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Yazirruddin, 60, bekerja sebagai Pegawai Audit Dalam telah
mengalami keilatan kekal menyeluruh akibat darah tinggi pada 6 Jun 2017 merupakan pendeposit SSPN-i yang telah membuka akaun pada 29 Disember 2011 dan 30 Oktober 2015 untuk dua anaknya.

Ketika disahkan mengalami keilatan kekal menyeluruh, beliau mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful bersamaan dengan jumlah simpanan iaitu RM24,922.42.

“Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka,” ujar PTPTN dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, khairat kematian berjumlah RM2,000 juga diberikan sekiranya berlaku kematian atas pendeposit dan RM500 atas kematian penerima manfaat (anak).

“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan kesihatan seorang bapa, namun dengan manfaat yang diterima ini dapat membantu meringankan beban kewangan untuk menampung kelangsungan hidup beliau sekeluarga,” ujar kenyataan yang sama.

Justeru Yazirruddin telah membuat pilihan yang tepat dengan menyimpan di dalam SSPN-i bagi memastikan masa depan keluarga beliau terus terjamin.

Ini kerana SSPN-i turut menawarkan keistimewaan lain kepada pendeposit SSPN-i seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, geran sepadan serta patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.

Secara keseluruhan sehingga Februari 2021, sebanyak 4.86 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM8.28 bilion.- MalaysiaGazette