Home Nasional Enam pemuda minum ketum siang hari ditangkap

Enam pemuda minum ketum siang hari ditangkap

Arifai Tarawe

GOMBAK – Enam lelaki tempatan yang sedang menikmati air ketum ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Gombak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua lelaki yang berumur antara 24 hingga 35 tahun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti minum air ketum pada siang hari pada bulan Ramadan.

“Dalam serbuan tersebut polis berjaya merampas dua bungkusan plastik lutsinar berikat gelang getah berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat isipadu lebih kurang 1,000 mililiter,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Arifai, kesemua suspek telah dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi tadi dan direman selama lima hari mulai hari ini hingga 20 April ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Polis turut mengesahkan salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. – MalaysiaGazette