Home Nasional Kemalangan membabitkan ambulans, satu cedera

Kemalangan membabitkan ambulans, satu cedera

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah ambulans dan kereta di Kilometer 5, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini pada tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang membabitkan sebuah ambulans hospital swasta dan kereta Perodua Kenari yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, kemalangan itu berlaku apabila ambulans yang sedang membawa pesakit itu dari arah Kota Tinggi dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat,lalu melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang datang dari arah Jalan Dato’ Sulaiman.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta berkenaan telah mengalami kecederaan dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, di sini untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan,pemandu ambulans berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah tampil membuat laporan polis di Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.
Orang ramai yang melihat kejadian kemalangan itu diminta untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap pemandu ambulans juga berhati2 semasa lintas lampu isyarat yg masih merah. Bimbang pengguna lain tak perasan atau tak dengar siren sbb kejar lampu hijau.
    Sama sama jaga diri masing2.

Comments are closed.