KUALA LUMPUR – Sebanyak RM250,000 kutipan disasarkan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) menerusi konsert amal secara virtual yang berlangsung 30 April ini.
Presidennya, Uzaidi Udanis, konsert itu diadakan dengan kerjasama artis tempatan demi membantu pemandu pelancong yang terjejas akibat Covid-19 dan yang menghidapi penyakit kronik.
“Kita tidak tahu apa nak buat lagi dah, kita industri pelancongan memang terkesan kami (industri ini mendapat pendapatan) berdasarkan pergerakan jadi kalau pergerakan dihadkan ia menyukarkan DNA (model) perniagaan kami. Kita kena sentiasa bantu sesama kita.
“Jadi inisiatif terakhir yang terkini iaitu konsert amal online untuk dapatkan sumbangan bagi membantu pekerja industri pelancong,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.
Jelas Uzaidi, dengan sasaran itu beliau menjangka 500 keluarga pemandu pelancong akan menerima RM500 sebagai bantuan persediaan menjelang Aidilfitri pada Mei nanti.
Terdahulu, katanya, lebih kurang 5,000 syarikat pelancongan dalam negara yang sehingga kini masih mengupah pemandu pelancong.
Justeru ujar beliau, kesemua pemandu pelancong ini perlu mendapat pembelaan yang setimpal.
Konsert amal secara virtual ini kelak akan menampilkan penyanyi Hakka yang terkenal iaitu Zhang Shao Lin, Zhang Shui Rong Chang Sau Ling.
Menurut Presiden MTC itu lagi, konsert berkenaan selain menjual tiket dalam masa yang sama menawarkan pakej pelancongan domestik khususnya bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula dengan RM50 sahaja.
Beliau berharap agar lebih ramai artis tempatan yang akan bekerjasama dengan MTC untuk mengadakan konsert seperti ini pada masa akan datang demi membantu pemandu pelancong khususnya yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Untuk makluman, konsert amal secara virtual berkenaan akan berlangsung pda 8:30 malam. -MalaysiaGazette