Home Utama Penerbit, pelakon video promosi judi online diburu polis – Acryl Sani

Penerbit, pelakon video promosi judi online diburu polis – Acryl Sani

Sebahagian daripada pelakon terlibat dalam video mempromosi judi online menggunakan iklan raya yang tular semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap sebaran satu video promosi judi online yang tular di media sosial baru-baru ini.

Penerbit dan pelakon dalam video yang mempromosi judi haram itu juga sedang dikesan polis untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, video berdurasi dua minit satu saat itu mempromosi perjudian online secara haram itu dikesan semalam.

“Isi kandungan video ini mendapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam. Satu laporan polis telah dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video yang mempromosikan judi online ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

Tambah Acryl Sani, siasatan polis dalam kes ini akan menjurus kepada penerbit dan pelakon yang terlibat di dalam video tersebut.

“Mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan disamping orang ramai diingatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” tegas beliau.

Terdahulu video judi online itu mempromosi kegiatan dengan mengambil kesempatan musim Ramadan dan sambutan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Kira-kira lima orang individu termasuk wanita dilihat menjadi pelakon dalam video berkenaan.- MalaysiaGazette