Home Nasional Bazar Aidilfitri 2021: Peniaga gembira dapat beroperasi, harap lebih ramai pengunjung

Bazar Aidilfitri 2021: Peniaga gembira dapat beroperasi, harap lebih ramai pengunjung

Para peniaga masih melakukan susun atur gerai jaulan mereka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga di Bazar Aidilfitri 2021 menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi pada tahun ini walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati bazar di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) itu dibahagikan kepada empat seksyen iaitu A, B, C dan D dengan laluan masuk dan keluar yang berbeza.

Setiap seksyen dipantau rapi oleh anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan kapasiti pengunjung tidak melebihi had yang ditetapkan.

Penghadang besi setinggi dua meter turut diletakkan di sepanjang seksyen berkenaan bagi memisahkan kawasan bazar dengan deretan kedai berhampiran.

Pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

Manakala setiap pengunjung yang hadir sama ada seorang diri atau bersama keluarga akan diberikan satu pas khas berwarna merah yang tertera nombor giliran sepanjang berada di dalam seksyen tersebut untuk membeli barangan keperluan hari raya.

Namun suasana bazar Aidilfitri pada hari pertama beroperasi dilihat agak suram di waktu petang berikutan musim hujan yang melanda negara ketika ini.

Bagi peniaga baju Melayu, Suliza Murdiadi berkata, dia amat gembira apabila mendengar perkhabaran Bazar Aidilfitri 2021 dibenarkan untuk beroperasi oleh kerajaan.

Temubual bersama peniaga, Suliza Murdiadi pada hari pertama operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

“Dua tahun lepas kita berada di Dataran Merdeka, sambutan pun boleh tahan tapi tahun lalu kita tak berniaga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tahun ini dibenarkan untuk beroperasi.

“Memang sangat gembira sebab kita di sini untuk mencari rezeki kerana sebelum ini pun saya berniaga di expo, hanya harapkan bazar ini sahaja untuk mencari rezeki.

“Saya juga berharap jualan tahun ini memberangsangkan seperti tahun sebelumnya dan nampak meriah sedikit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Manakala peniaga tudung, Faizah Ishak, melahirkan rasa syukur apabila dapat berniaga secara bersemuka dan kembali bertemu pelanggan.

Temubual bersama peniaga, Faizah Ishak pada hari pertama operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

Menurut Faizah, dia lebih menumpukan perniagaan secara atas talian pada tahun lalu berikutan pelaksanaan PKP.

“Tahun lepas memang pendapatan sangat berkurangan akibat penularan Covid-19 jadi saya harap dengan pembukaan bazar tahun ini dapatlah merancakkan semula ekonomi,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Shamliah Ibrahim berkata, sambutan pengunjung pada hari pertama pembukaan bazar agak kurang memuaskan ditambah pula cuaca yang sering hujan pada waktu petang.

Temubual bersama peniaga, Shamliah Ibrahim pada hari pertama operasi Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2021.

“Untuk hari pertama ini memang sangat kurang pengunjung, mungkin orang ramai masih takut untuk keluar dan berada di tempat awam tapi harap lepas ini lebih ramai cari barang keperluan menjelang hari raya.

“Pengunjung yang hadir juga jangan lupa jaga SOP masing-masing, risau kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi ketika ini,” katanya.

Bazar Aidilfitri 2021 mula beroperasi hari ini sehingga 12 Mei depan membabitkan seramai 208 penjaja.

Tempoh operasi bazar ini bermula pada pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam dan dikawal selia sepenuhnya oleh DBKL. – Malaysia Gazette