Home Nasional Gagal patuhi SOP, Bazar Ramadan Tok Adis diarah tutup sementara

Gagal patuhi SOP, Bazar Ramadan Tok Adis diarah tutup sementara

Gambar Hiasan.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengesahkan Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai di sini diarah tutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam tadi hingga 30 April.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata, perintah penutupan bazar Ramadan Tok Adis itu dilakukan agar penganjur dapat memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan memastikan ia dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.

“Ia adalah bazar Ramadan pertama yang diarah tutup sementara di Terengganu. Pemantauan telah dilakukan oleh pegawai penguat kuasa di lokasi itu selama beberapa hari dan kita dapati banyak pelanggaran SOP berlaku.

“Arahan penutupan bazar itu bukan secara mengejut kerana nasihat telah pun diberi…penutupan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dan berharap langkah ini akan menjadi iktibar kepada semua agar mereka tidak cuai dalam pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Penutupan itu berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Antara SOP yang mesti dipatuhi di bazar Ramadan ialah pengambilan suhu badan, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemakaian pelitup muka, laluan sehala dan hanya pengunjung 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, jabatan sentiasa melakukan pemantauan tahap pematuhan SOP di semua bazar Ramadan di seluruh Terengganu bagi mengelak wujudnya kluster baharu COVID-19 akibat pelanggaran SOP di lokasi niaga itu.

Sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan dengan 4,326 petak niaga beroperasi di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.

Daripada jumlah itu, 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua). – Bernama