KUALA LUMPUR – Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) berikrar akan terus setia bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Loganathan Thoraisamy berkata, IPF sentiasa terikat dengan jasa serta impian dua bekas Presidennya, mendiang Tan Sri MG Pandithan dan Datuk M Sambathan yang mahu parti itu bersama BN sejak dulu lagi.
“Saya sebagai Presiden yang mengambil alih tanggungjawab menerajui IPF ketika perlu memenuhi hasrat tersebut, banyak juga persoalan ditimbulkan oleh segelintir media adakah kita akan bersama BN. Jawapan kita tetap sama, kita tidak akan sesekali tinggalkan BN.
“Ini bukan kehendak saya sebaliknya Majlis Teringgi dan juga akar umbi,” katanya pada sidang media mengenai hala tuju IPF di Wisma Tan Sri Datuk MG Pandithan di sini, hari ini.
Kata Logananthan, parti itu sudah menyatakan hasrat tersebut kepada kepimpinan tertinggi BN sebelum ini dan mendapat penghargaan terhadap kesetiaan yang ditunjukkannya itu.
Tambah beliau, pada pertemuan pemimpin IPF, kepimpinan BN terkejut dengan komitmen serta kesetiaan yang ditunjukkan parti itu selama ini.
“Bayangkan daripada 14 parti yang pernah bersama BN kini tinggal 3 atau 4 sahaja, ketika berada di atas sana dan kini berdepan dengan pelbagai onak namun walaupun permintaan kita tidak dipenuhi selama puluhan tahun namun kami setia.
“Pesanan kedua-dua mendiang Presiden kepada kami hanyalah janganlah sesekali membelakangkan BN dan UMNO,” ujarnya.
Dalam pada itu, Loganathan berkata, IPF akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan wakil rakyat BN dan UMNO telah menyatakan sokongan terhadap PN. -MalaysiaGazette