KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung dua isu hangat membabitkan video iklan raya yang mempromosi judi dalam talian dan kes pukul ‘bodyguard’ berpuasa.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulop berkata, laporan tersebut dibuat susulan sebuah video berdurasi dua minit satu saat tular memaparkan aksi lakonan dan nyanyian sekumpulan individu yang mana liriknya dipercayai menggalakkan orang awam untuk berjudi.
“Dalam minggu ini sahaja dua isu besar telah berlaku dalam negara dan kedua-duanya dilihat menghina agama Islam dan jauh terpesong daripada nilai kemanusiaan.
“Saya sendiri terkejut melihat video judi berlatar belakangkan lagu raya di laman sosial kerana ia menjadi ‘viral’ ketika umat Islam di negara ini sedang berpuasa.
“Kita tak salahkan pelakon dalam video berkenaan kerana mereka mungkin mahukan bayaran namun mana akidah mereka? Kenapa semakin banyak isu-isu memperlekehkan agama sejak akhir-akhir ini?
“Manakala kes majikan memukul pekerja pula, jika dahulu kita banyak lihat orang menghina agama Islam menerusi media sosial namun kini ia berlaku secara terang-terangan. Jika tak nak mereka bekerja, buang sahaja bukan perlakukan sedemikian,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Sementara itu, wakil Pertubuhan Gabungan Panji Langkasuka (Galas), Muhammad Firdaus Mohd. Adnan menyatakan kekecewaannya berhubung kedua-dua isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Menurut beliau, pihak yang berkenaan perlu mengambil tindakan tegas bukan sahaja terhadap si pelaku namun dalang utama di sebalik pembikinan video tersebut.
“Kita dah buat beberapa laporan polis namun apa yang mengecewakan apabila satu lagi video muncul di media sosial hari ini.
“Ini satu benda yang ingin memainkan sentimen agama sebab bulan Ramadan adalah waktu kita untuk berjihad dengan nafsu iaitu berpuasa tetapi video itu menunjukkan mesej yang jelas bahawa hari kemenangan umat Islam mereka boleh mempromosikan judi.
“Ini sudah terlalu melampau dan biadap jadi hari ini kita berdiri di sini untuk memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangkap pelaku dan juga siapa dalang di sebalik video ini.
“Dan kita juga minta jabatan agama Islam di negara ini memainkan peranan kerana isu ini adalah isu sensitif dan mendapat perhatian awam, kita tidak mahu ada perkara tidak diingini berlaku di kemudian hari.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu memantau dan blok semua video-video berkaitan kerana ia memberikan imej buruk,” ujarnya. – Malaysia Gazette