Home Nasional KPDNHEP keluar 26 notis sejak Ramadan bermula

KPDNHEP keluar 26 notis sejak Ramadan bermula

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 26 notis susulan kenaikan harga ayam dan daging, bagi tempoh lima hari sejak awal Ramadan Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full berkata, notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan membabitkan 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di pasar awam sekitar bandar raya.

“Berdasarkan rekod, dari awal tahun sehingga semalam, sebanyak 4,165 premis diperiksa meliputi 3,542 peruncit, 518 pemborong dan 105 pengilang.

“Susulan daripada pemeriksaan ini, sebanyak 124 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat seperti ayam, daging, ikan, sayur-sayuran dan sebagainya di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.

Pemeriksaan akan dibuat dengan memeriksa maklumat harga dan kos barangan di peringkat pembekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasaraya) dan pembekal (pemborong ,peladang, pengeluar, pengimport) agar tidak menaikkan harga sewenang- wenangnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menggesa KPDNHEP mengatasi isu kenaikan harga ayam dan daging segar.

“Bekalan protein yang mampu milik oleh rakyat antaranya ayam, daging import dan daging tempatan sememangnya menjadi keperluan rakyat.

“Adalah wajar mengadakan pertemuan segera dengan pembekal ayam dan daging supaya dapat mendengar pandangan mereka.

“Kita mengesyorkan satu harga syiling yang boleh dilaksanakan.

“Perlu juga mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP, ini penting sebab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hanya dapat menyediakan kecukupan barangan keperluan rakyat, manakala KPDNHEP yang melaksanakan penguatkuasaan harga ini,” katanya ketika membuat tinjauan di Pasar Awam Larkin, di sini.

Ketika ini, ayam dijual pada harga RM9.20 sekilogram (kg), daging lembu tempatan RM40/kg, daging import RM25/kg, manakala kambing pula RM50/kg. – MalaysiaGazette