Home Nasional Syarikat judi atas talian semakin kurang ajar

Syarikat judi atas talian semakin kurang ajar

Ketua Aktivis KRAMAT, Hamdan Mohd Salleh menunjukkan laporan polis berhubung iklan Raya Judi Online di Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Video iklan mempromosi kegiatan perjudian bertemakan sambutan Hari Raya dihasilkan oleh sebuah syarikat kasino didakwa merupakan satu perancangan rapi oleh pihak tertentu untuk mencemarkan agama Islam di negara ini.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Keramat, Hamdan Mohd. Salleh berkata, penerbitan video itu seolah-oleh menunjukkan umat Islam dan bangsa Melayu menjadi bangsat sehingga sanggup hendak berjudi untuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri nanti.

Justeru beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas semua individu yang terlibat dalam iklan itu sama ada pelakon, krew dan juga penerbit.

“Hari ini mereka semakin kurang ajar dan BET333 mula melakukan perancangan dengan membuat iklan video yang berkaitan dengan mesin judi.

“Apakah umat Islam dan bangsa Melayu bangsat sangat sampai hendak berjudi untuk membuat persiapan menjelang Hari Raya?

“Apakah mereka fikir ini keuntungan peribadi atau pelbagai pihak dan saya yakin ia dilakukan pihak tertentu?

“Kami menggesa pihak berkuasa siasat semua individu yang berlakon dalam iklan tersebut dan mereka yang menerbitkan video yang jelas mencabar umat Islam dan Melayu di seluruh negara,” katanya.

Ketua Aktivis KRAMAT, Hamdan Mohd Salleh bercakap dengan media selepas membuat laporan polis berhubung iklan Raya Judi Online di Ibu Pejabat Polis Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 APRIL 2021.

Beliau berkata demikian kepada media selepas bersama Timbalan Aktivis Keramat, Faizan Mohd Nor membuat laporan polis berhubung video itu di Ibu Pejabat Daerah Cheras di sini hari ini.

Hamdan menambah, modus operandi tauke judi kali ini menggunakan online (atas talian) yang mana jumlah untuk bertaruh dimasukkan dalam akaun dan dari situ bermula kegiatan perjudian dalam talian.

Kata beliau, pihaknya yakin ramai yang terlibat dalam kegiatan tersebut namun perlu ada batas undang-undang.

“Jangan melampau sampai jadi barua untuk buat perkara ini. Dahulu kami bantas premis judi yang babit Pihak Berkuasa Tempatan dan polis. Ketika itu tauke tidak dapat ditangkap dan pekerja mereka yang jadi kambing hitam.

“Minggu depan kita akan serah nama pemegang akaun judi online ini kepada Bank Negara Malaysia supaya arah bank-bank tutup akaun mereka yang terlibat.

“Sekiranya tidak dibendung kegiatan ini, ia akan libat maruah umah Islam dan jangan jadikan umat Islam ini bangsat sangat dan barua untuk terlibat dalam kegiatan judi menjelang Hari Raya nanti,” katanya. – MalaysiaGazette