Home Nasional Hamid Bador, jangan bersara dulu – Baljit

Hamid Bador, jangan bersara dulu – Baljit

Baljit Singh

KUALA LUMPUR – Usaha ‘membersihkan’ pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada elemen tidak sihat  perlu diteruskan sehingga ia benar-benar bersih.

Malah pendedahan disusuli tindakan tegas tanpa kompromi khasnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pithay  wajar dipuji.

Menurut Naib Presiden Gerak, Datuk Baljit Singh, tindakan pantas dua figura dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebenarnya telah membendung kejadian salah guna kuasa apatah lagi dakwaan penglibatan pegawai serta anggota.

“Jika bukan mereka, siapa? Mereka berdua bertindak pantas, tegas dalam perangi isu salah guna kuasa dalam kalangan polis yang dikaitkan pula dengan sindiket jenayah yang sedang bertular di negara kita.

“Sejak awal lagi saya sudah tegaskan supaya persaraan KPN supaya disambung supaya beliau dengan perwatakan cukup tegas itu dapat membersihkan imej PDRM di mata masyarakat kita dan pandangan tidak akan berubah.

“Lagi-lagi dengan keadaan jenayah seperti gasterisme judi, sindiket, pemerasan dan segala macam insiden jenayah lain, semua ini telah menyebabkan umum semakin ragu-ragu dan gusar ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Baljit, dalam beberapa hari lalu, masyarakat  telah dikejutkan dengan video tular pergaduhan geng, kes buli jalan raya selain sindiket judi boleh mempromosi judi melalui video hari raya.

“Apa yang akan terjadi jika tidak ada figura seperti Hamid Bador dan Ayob Khan ini? Sekurang-kurangnya tindak tanduk pantas mereka memberikan sedikit sebanyak kelegaan, untuk itu saya ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka,” katanya lagi.

Baljit juga teruja kerana kerajaan juga senada dengan beliau supaya menyokong penuh figura seperti Hamid Bador dan Ayob Khan.

“Saya sungguh jijik dan mual apabila sebuah jabatan yang ditubuhkan untuk tangani masalah salah laku bertindak sebaliknya termasuklah elemen rasuah.

“Atas dasar inilah saya mohon supaya kerajaan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan seperti Hamid Bador dan Ayob Khan supaya mereka dapat menghabiskan saki baki itu.

“Adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan bodoh sekiranya sokongan seumpama itu tidak diberikan kepada mereka ini yang hanya mahu mengembalikan maruah PDRM sekaligus memberikan keyakinan umum seperti sediakala,” ujarnya. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ketua Polis dan Peguam Negara sepatutnya di lantik dalam Parlimen, dan persetujuan Majlis Raja, baru hebat.

Comments are closed.