Home Uncategorized Jatuh cinta dengan tenunan sejak tingkatan 2

Jatuh cinta dengan tenunan sejak tingkatan 2

JOHOR BAHRU – Melihat ketelitian penenun ketika berkunjung ke Galeri Tenun Yayasan Warisan Johor (YWJ) enam tahun lalu, mengubah persepsi Mohamad Shahril Ahmad, terhadap keindahan seni warisan ini.

Kini baru berusia 19 tahun, anak kelahiran Kluang ini menjadi penenun termuda di Galeri Tenun YWJ  sekaligus mengembalikan kembali minat generasi muda terhadap seni warisan yang semakin hilang ditelan zaman.

Walaupun baru tahun pertama melibatkan diri dalam bidang tenunan, dia kini mampu menyiapkan tidak kurang 22 helai songket dalam masa dua minggu.

“Pada mulanya saya datang sini sekadar untuk lawatan kemudian saya jadi minat.

“Lepas SPM saya terus mohon kerja di sini, seronok sangat sebab jarang orang muda terutama lelaki berminat untuk kerja-kerja tenunan sebegini.

“Tapi bagi saya ianya unik dan saya perlu pelihara,” katanya.

Menurut Shahril, beliau tidak mengikuti sebarang kursus tenunan, malah dek kerana minat teknik tenunan dapat dilakukan.

“Saya tak belajar mana-mana, cuma saya rajin bertanya dengan senior-senior.

“Saya memang minat dan mungkin sebab terlalu minat benda yang orang lihat rumit ni sebenarnya saya mampu lakukan.

“Cuma saya perlu berhati-hati untuk pastikan tenunan hasil tangan itu nampak lebih kemas dan cantik,” katanya ketika di temui di Galeri Tenunan YWJ, di sini.

Katanya, beliau berasa puas apabila hasil tenunan songket tangannya dipakai oleh mereka berjawatan tinggi.

“Gembira, puas semua ada. Happy sangat.

“Kadang DO tempah, orang-orang kerajaan, adi bila mereka pakai macam kepuasan bagi diri saya.

“Walaupun tak dapat melihat mereka pakai tetapi saya berbangga bila dapat tahu tempahan ini daripada siapa,”katanya.

Beliau berkata, tenunan adalah satu warisan yang sangat menarik tetapi semakin dilupakan.

“Generasi muda seperti kita sepatutnya mengambil tahu pasal menenun, sebab menenun ini bukanlah satu seni yang susah dipelajari.

“Marilah kita sama-sama mempelajarinya, sekaligus mengekalkan seni warisan tenunan ini bersama-sama,” katanya.

Terdapat beberapa proses untuk menenun, namun jelasnya, proses tenun yang paling sukar ialah proses menyampak kerana proses itu mengambil masa dua minggu disebabkan perlu memasukkan benang satu-persatu.

“Walaupun sukar, tetapi saya berasa sangat berpuas hati kerana mampu menyiapkan satu kain songket tenun ini,” katanya.

Terdapat enam lagi penenun berusia antara 23 sehingga 30 tahun.

Difahamkan dalam usaha YWJ untuk mengembalikan semula tenunan negeri itu, beberapa program diwujudkan antaranya, Bengkel Sepagi di galeri ini.

Didalam program berkenaan YWJ cuba mengetengahkan kepada orang awam mengenai cara menenun termasuk rekaan.

Selain itu, galeri ini aktif mencari penenun-penenun rakyat Johor yang tidak aktif menenun dengan memberi pakej songket tenun, benang dan beberapa peralatan, supaya mereka kekal aktif menenun di rumah. – MalaysiaGazette