Home Dunia Kereta api tergelincir, 11 maut, 98 cedera

Kereta api tergelincir, 11 maut, 98 cedera

KAHERAH – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan hampir 100 orang cedera dalam kemalangan di Mesir, semalam.

Empat buah gerabak kereta api yang menuju ke Kaherah dari bandar di delta Sungai Nil, Mansoura tergelincir daripada landasan di Toukh, sebuah bandar kecil di wilayah Qalioubia, kira-kira 40 kilometer (km) dari ibu negara.

Menteri Kesihatan Mesir berkata, lebih 50 buah ambulan membawa mereka yang cedera ke tiga buah hospital di wilayah itu dan 14 orang yang mengalami cedera ringan dibenarkanĀ  keluar daripada sebuah hospital yang berdekatan dengan lokasi kejadian.

Para penyiasat telah dihantar untuk menentukan punca kemalangan.

Ketua pihak berkuasa kereta api, Ashraf Raslan berkata, sebuah jawatankuasa teknikal diwujudkan bagi mengenalpasti mengapa kereta api tersebut tergelincir.

Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi turut mengarahkan pihak berkuasa kejuruteraan tentera menyiasat kejadian tersebut.

Pemandu dan pegawai kereta api ditahan untuk disoal siasat.

Insiden itu berlaku selepasĀ dua kereta api penumpang bertembung di wilayah Sohag yang menyaksikan sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan 200 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, tiga minggu lalu.

Pendakwaraya berkata, mereka mendapati kecuaian kakitangan syarikat kereta api merupakan punca kemalangan maut pada 25 Mac itu yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Seramai 15 orang mengalami kecederaan pada bulan ini apabila dua buah kereta api tergelincir berhampiran bandar Minya Al-Qamh, kira-kira 70 km utara Kaherah.

Pada Februari 2019, sebuah lokomotif tanpa pemandu merempuh penghadang stesen kereta api Ramses, Kaherah menyebabkan letupan dan kebakaran yang membunuh sekurang-kurangnya 25 orang.

Kemalangan tersebut menyebabkan Menteri Pengangkutan meletak jawatan.

Kemalangan kereta api terburuk Mesir berlaku pada 2002 yang mana seramai 300 orang terbunuh selepas kebakaran merebak dalam kereta api yang berlepas dari Kaherah ke selatan negara itu. – MalaysiaGazette