PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan komitmen jangka panjang Microsoft Corporation (Microsoft) dalam memperkasakan ekonomi digital inklusif di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen yang di bawah Inisiatif Bersama Malaysia yang bernilai RM4 bilion itu adalah untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jelas beliau, rancangan itu akan merangkumi pembukaan pusat data pertama Microsoft di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai pusat data untuk menguruskan data dari pelbagai negara.
“Saya difahamkan menurut International Data Corporation (IDC) kesan limpahan daripada pelaburan pusat data serantau hari ini, dapat diterjemahkan menjadi RM28.3 pendapatan yang dijanakan dalam ekosistem perkhidmatan awan tempatan untuk setiap RM4.2 bagi pendapatan awan Microsoft Malaysia menjelang 2024.
“Dianggarkan juga ia akan membantu mewujudkan 19,000 pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan yang berkaitan dengan teknologi maklumat (IT) di kalangan pengguna awannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia di Hotel Zenith di sini hari ini.
Turut hadir beberapa barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan.
Hadir sama, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi memanfaatkan data yang lebih besar, Malaysia memerlukan tulang belakang bukan sahaja sebagai penyambungan dan penyimpanan data namun modal insan berkemahiran dengan kemampuan sains data.
Jelas beliau, dalam situasi ini, kehadiran banyak perkongsian awam-swasta yang dibentuk oleh Microsoft dan rakan kongsinya amat dialu-alukan.
“Sebagai permulaan, rakan kongsi tersebut merangkumi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Petronas, Celcom dan Grab.
“Menjadi sebahagian daripada Inisiatif Bersama Malaysia, saya juga difahami oleh Microsoft bahawa perkongsian ini akan membantu kemahiran dalam pelbagai peringkat hingga satu juta rakyat Malaysia pada akhir 2023.
“Saya harap perkongsian yang berjaya ini dapat menjadi contoh perbandingan untuk merapatkan jurang digital dan memperkasakan setiap rakyat Malaysia melalui penggunaan teknologi.
“Ini selari dengan digitalisasi yang menjadi pilihan utama untuk memainkan peranan penting bagi jangka panjang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030),” katanya.
Muhyiddin turut berharap kerjasama perkongsian dengan Microsoft itu akan menjadi pelaburan yang lebih luas termasuk dengan pemain data lain di negara ini.
Tambah beliau, pelaburan Microsoft itu penting dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab data serantau yang berpotensi.
“Malaysia bersedia untuk menerima lebih banyak perkongsian seperti ini untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi terus meningkatkan kedudukan nilai Malaysia di ruang data besar.
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Microsoft atas kepercayaan mereka di Malaysia dan saya mengharapkan perkongsian digital yang panjang dan makmur,” katanya. – MalaysiGazette