KUALA LUMPUR – Kisah tular seorang tingkatan dua dipukul oleh orang luar yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa kerana kisah buli seperti tidak ada noktahnya.
Malah masalah jenayah dan gangsterisme di kalangan belia India khususnya di beberapa bandar besar juga ada kalanya seperti tidak ada penyelesaian sehingga mampu menjadi ancaman lebih besar sekiranya tidak ada apa-apa dilakukan.
Mengambil kira betapa pentingnya untuk menangani isu-isu sosial dan jenayah ini, Malaysia Indian Youth Development Foundation (MIYDF) bersama-sama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menganjurkan ‘Bengkel 1Force Against Crime’ di Gombak semalam.
Bengkel dua hari ini yang telah dihadiri oleh 90 peserta dalam kalangan pelajar serta remaja antara 16 hingga 21 tahun ini sebenarnya ingin memberi peluang kepada lebih ramai remaja melibatkan diri dalam forum serta bengkel anti jenayah.
Menariknya, bengkel Program Pembangunan Modal Insan Masyarakat India Selangor ini turut menjemput nama besar dalam dunia kepolisan serta jenayah iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam.
Menurut kordinator program MIYDF bahagian Gombak, Mogan Krishnan, bengkel 1Force ini merupakan salah satu daripada usaha pihaknya dalam memberikan kepada golongan itu tentang keburukan melakukan jenayah disamping menggalakkan mereka melakukan perkara-perkara menjamin masa depan.
“Pastinya umum tahu tentang apa yang sedang berlaku di sekitar kita lagi-lagi apabila isu sosial dan jenayah sememangnya berlaku secara berleluasa lebih merunsingkan kita rata-rata mereka juga dalam kalangan pelajar dan golongan muda.
“Golongan muda, belia ini sememangnya penting kerana merekalah yang akan menjadi aset paling berharga pada masa akan datang. Maka ianya cukup penting sekali untuk kita mendidik dan pengaruhi generasi ini agar menjauhi semua jenis perilaku jenayah.
“Oleh yang demikian kami di MIYDF dan sokongan MITRA telah mengadakan satu bengkel kesedaran terhadap kes-kes jenayah yang juga kami percaya harus didedahkan pada peringkat awal usia bagi mengelakkan remaja daripada terjerumus,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata Mogan, sememangnya bengkel 1Force itu mendapat sokongan serta galakan dalam ibu bapa serta peniaga selain komuniti setempat dengan kehadiran seramai 90 peserta.
“Inisiatif ini sememangnya satu keperluan malah para peserta juga saya lihat begitu tekun mendengar kata-kata nasihat, motivasi serta pendedahan-pendedahan penting yang sebenarnya akan banyak membantu mereka pada masa hadapan.
“Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah kita semua seperti kalut mengambil tindakan.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap daripada kita yang dewasa dan matang ini yang dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette