Home Nasional Penganggur muda jadi ‘transporter’ syabu ditahan polis

Penganggur muda jadi ‘transporter’ syabu ditahan polis

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Mohd Rosdi Bin Daud menunjukkan hasil rampasan ketika sidang media berkenaan kejayaan merampas 9 kg dadah jenis syabu dan kegiatan melombong Bitcoin di IPD Serdang. Foto FIKRI YAZID, 19 APRIL 2021.

SERDANG – Penganggur muda yang berperanan sebagai ‘transporter’ dan pengedar dadah syabu di Lembah Klang ditahan polis dalam operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Khamis lalu.

Lelaki yang berusia awal 20-an itu menerima bayaran antara RM4,000 hingga RM5,000 dari ejen bagi setiap kali penghantaran yang dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, pengintipan pasukannya mendapati sebuah kenderaan Honda City hitam yang dinaiki suspek telah berhenti di satu lokasi di Serdang Raya, Seri Kembangan.

“Suspek keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum mengeluarkan satu beg berwarna jambu dari bonet kenderaan dan diletakkan di sebelah tempat penumpang hadapan.

“Polis terus menahan suspek dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan telah menjumpai satu beg yang mana di dalam itu menemui lima bungkusan lutsinar hijau yang berisi kristal dadah syabu anggaran seberat 5.167 kilogram,” katanya pada sidang media di IPD Serdang.

Menurut Mohd Rosdi, selepas rampasan itu, pasukannya telah membuat pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek dan menjumpai satu lagi bungkusan plastik warna sama berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat empat kilogram dan keseluruhan rampasan dadah berjumpah 9.283 kilogram.

Tambah beliau, suspek merupakan seorang penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dan telah direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, semakan lanjut mempunya 10 rekod lampau jenayah dan dadah dan tangkapan pertama adalah tujuh tahun lalu.

“Soal siasat lanjut ke atas suspek mendapati dia aktif selama sebulan dalam penghantaran dan pengedaran dadah di sekitar pasaran Lembah Klang.

“Dakwaan menerima upah RM4,000 hingga RM5,000 dari ejen atasan untuk bekalan itu oleh suspek juga sedang disiasat mendalam kesahihan maklumat yang diakui itu manakala polis khuatir ada penglibatan pihak lain dalam kegiatan berkenaan sebagai sindiket.

“Kita juga akan menyiasat dari mana dan siapa suspek menerima bekalan tersebut untuk memastikan sindiket itu dilumpuhkan sepenuhnya bagi mengelak kegiatan haram itu berleluasa di daerah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette